KENYATAAN AKHBAR
CFM KECAM SERANGAN TERHADAP JEMAAH ISLAM DI CHRISTCHURCH, NEW ZEALAND
Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) mengecam perbuatan ganas dan tidak berperikemanusiaan di mana seorang lelaki bersenjata dilaporkan telah membunuh 49 orang jemaah Islam dan mencederakan puluhan orang tidak bersalah yang sedang menunaikan doa Hari Jumaat mereka di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood Christchurch, New Zealand.
CFM mengecam segala bentuk jenayah kebencian dan ganas. Kehilangan nyawa mereka yang tidak bersalah tidak dapat mewujudkan keamanan berpanjangan di dunia.
Kami menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan menyeru gereja-gereja di Malaysia untuk berdoa bagi mereka yang sedang berdukacita kerana kehilangan.
Semoga kita juga mengenang warga Malaysia dan jemaat lain yang cedera dan hilang semasa serangan itu. Kita berdoa agar Tuhan yang Maha Kuasa akan memberikan kedamaian dan berkat-Nya semasa kita mempersembahkan doa-doa bagi pemulihan mereka.
Pada hari ini, kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk mengambil iktibar ini supaya kita sungguh-sungguh menghargai perpaduan, keamanan dan keharmonian negara kita dan sentiasa berusaha gigih dalam memastikan semangat saling menghormati terhadap semua agama dan bangsa di negara tercinta kita.
Ungkapan-ungkapan kebencian yang mencetuskan permusuhan tidak ada tempat di sini mahupun di tempat lain di dunia kita.
Ditandatangani
Uskup Agung Julian Leow Beng KIm Pengerusi dan Komiti Eksekutif Persekutuan Kristian Malaysia
