Kenyataan CFM

Perpaduan Untuk Kedamaian Dan Kemakmuran Bagi Semua

Ogos 28, 2019Bahasa Malaysia
Buka PDF asal (Bahasa Inggeris)

Apabila rakyat Malaysia meraikan ulang tahun ke-62 kemerdekaan Malaya yang dicapai pada tahun 1957 dan ulang tahun ke-56 penubuhan Malaysia pada tahun 1963, marilah kita bersama- sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah yang Maha Kuasa kerana telah memimpin negara kita yang berbilang bangsa, budaya dan agama, ke mercu pembangunan yang kita sekarang nikmati dan juga mengharungi segala cabaran dan halangan.

Kerajaan kita telah menyatakan visi baharu bagi kemakmuran bersama untuk Malaysia. Sekiranya visi ini dapat direalisasikan dengan sepenuhnya, ternyata akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, termasuk kaum pribumi, golongan miskin dan mereka yang terpinggir. Dalam masa ini, kita harus menumpukan perhatian terhadap isu-isu yang lebih penting dan bukan memberi fokus terhadap perkara-perkara yang remeh-temeh. Dengan hutang negara kita yang kini mencapai satu trilion ringgit, perang perdagangan yang sedang berlaku antara dua buah negara terbesar di dunia dan ketidakpastian di Eropah selepas Brexit, negara perdagangan seperti Malaysia tidak boleh membazirkan masa di atas isu-isu yang menghalang pemulihan dan pertumbuhannya. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama, kita tidak boleh mengizinkan sebarang ancaman terhadap kedamaian, keharmonian dan perpaduan untuk memecahbelahkan kita.

Pemimpin-pemimpin kita harus membangkit dengan semangat yang utuh dan keberanian untuk berganding bahu dalam usaha-usaha bersepadu untuk menghapuskan sifat perkauman ekstremis, retorik keagamaan dan ucapan-ucapan yang boleh membawa perpecahan sehingga pendengar dihasut untuk melakukan perbuatan jenayah. Semua ini sudah pasti akan memusnahkan keamanan dan ketenteraman awam negara kita. Polis dan semua pihak berkuasa, sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun Negeri, tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keamanan negara kita. Seperti yang dikatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri: "Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang bangsa dengan pelbagai kaum dan agama. Semua orang yang tinggal di negara ini perlu menghormati dan meraikan keragaman di negara kita."

Semangat dan harapan yang membuak-buak di dalam sanubari kita sejak 15 bulan yang lalu selepas PRU 14, sekarang seakan-akan sedang menghala ke arah kekecewaan, kebingungan, ketidakyakinan, ketidakpuasan dan ketegangan agama. Isu-isu seperti ini akan mengancam perpaduan yang kita amat perlukan untuk membawa negara kita terus maju dan mara ke hadapan.

Sememangnya, Kerajaan telah meletakkan polisi-polisi dan struktur sebagai dasar pentadbiran negara yang baik, berintegriti, bertanggungjawab, ketulusan, pemisahan kuasa dan peraturan undang-undang. Akan tetapi, lebih banyak lagi yang harus dilakukan dengan segera untuk merealisasikan Agenda Pembaharuan dan impian Malaysia Baru.

Dengan penurunan had umur minimum pengundi ke 18 tahun, sebanyak 8 juta pemuda Malaysia akan memerlukan kebijaksanaan dan pengetahuan untuk mengundi dengan bertanggungjawab dalam pilihan raya umum yang akan datang. Polisi-polisi yang dapat membawa perubahan ketara dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan dengan cepat, secara objektif dan dengan keberanian sekiranya kita ingin bersaing di peringkat global dan beralih kepada ekonomi digital untuk mengambil tempat dalam Revolusi Perindustrian ke-4.

Kerajaan baru kita merupakan suatu gabungan harapan, maka harus kita menadah tangan dengan penuh harapan untuk memperoleh inayat Allah dan berdoa kepada-Nya demi:

– negara yang benar-benar telah berubah, di mana penghormatan dan ucapan keyakinan antara satu sama lain menjadi satu norma dan kebiasaan;

– dialog autentik, yang disempurnakan dengan penuh tawaduk dan kefahaman untuk resolusi perbezaan.

– semua rakyat Malaysia, menyedari visi kita dengan memandang setiap insan sebagai seikhwan dan tidak wujudnya perbezaan di antara satu sama lain.

Marilah kita berdoa kepada Allah Yang Maha Kuasa agar memberkati Yang Di-Pertuan Agong, Raja-Raja, Gabenor-Gabenor, Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri serta ahli-ahli daripada Majlis Eksekutif, dan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri kita dengan kebijaksanaan, kekuatan, keberanian dan kesihatan. Semoga mereka sentiasa berkhidmat untuk rakyat dengan integriti yang teguh dan telus serta keazaman , keiltizaman , demi mencari kebaikan bersama untuk seluruh rakyat Malaysia.

SAYANGI MALAYSIAKU : Malaysia Bersih LOVE OUR MALAYSIA :A Clean Malaysia

Uskup Agung Julian Leow Beng Kim — Pengerusi
Uskup Agung Dr. Simon Poh Hoon Seng — Naib Pengerusi
Uskup Dr. Ong Hwai Teik — Naib Pengerusi
Revd. Dr. Eu Hong Seng — Naib Pengerusi