Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) amat terkejut dengan laporan terkini tentang buli, kematian dan rogol berkumpulan di sekolah-sekolah kita. Kejadian mengerikan ini telah menggoncang hati nurani negara dan mendedahkan krisis serius dalam keselamatan serta integriti moral sistem pendidikan kita, di samping keperluan meneliti semula cara anak-anak dibesarkan dalam era baharu media sosial.
CFM percaya bahawa kejadian-kejadian ini bukan tragedi terpencil, tetapi tanda kegagalan sistem yang lebih mendalam dan memerlukan tindakan segera serta tegas.
CFM menyeru Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan supaya bertindak segera terhadap krisis keselamatan dan moral yang semakin meruncing ini. Sudah tiba masanya untuk berhadapan dengan realiti keganasan berasaskan gender di sekolah serta peningkatan buli dan tingkah laku agresif dalam kalangan murid.
Langkah konkrit mesti diambil untuk memulihkan keselamatan, rasa hormat dan kebertanggungjawaban di semua sekolah; melatih guru serta pendidik mengenali dan menangani kanak-kanak berisiko serta keganasan berasaskan gender; dan menggalakkan persekitaran sekolah yang bermoral serta beretika, yang menjunjung maruah setiap murid, khususnya mereka yang paling rentan. Setiap sekolah mesti kembali menjadi tempat yang selamat, menghormati murid dan membentuk peribadi serta hati nurani mereka.
CFM turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya bertindak tegas untuk mengkaji dan memperkenalkan dasar yang melindungi kesihatan mental anak-anak kita, seperti garis panduan membendung akses mudah kepada kandungan pornografi dan keganasan dalam talian. Hal ini akan mencegah kemerosotan lanjut nilai moral masyarakat kita.
Kepada ibu bapa, kami menyampaikan rasa empati yang mendalam dan dorongan. Kami memahami bahawa cabaran membesarkan anak-anak pada masa ini amat besar. CFM berdiri bersama semua ibu bapa dan keluarga, menyeru mereka supaya mendampingi anak-anak — mendengar, membimbing dan memupuk mereka sambil mengambil kira kesan pendedahan berlebihan kepada media sosial serta tempoh penggunaan skrin yang tidak sesuai.
Kepada Gereja, kami berbicara sebagai gembala kepada sesama gembala. Bahaya yang mengancam masyarakat turut menyentuh komuniti kita sendiri. Oleh itu, marilah kita menjaga golongan muda dengan penuh perhatian dan belas kasihan, menyediakan ruang selamat agar mereka dapat bertumbuh dalam iman, keluhuran moral dan kesalehan. Gereja mesti menjadi tempat perlindungan yang berpegang pada kebenaran, kasih dan kekuatan moral dalam dunia yang bermasalah.
Semoga Tuhan mengurniakan hikmat, keberanian dan belas kasihan kepada semua — ibu bapa, pendidik, pemimpin dan Gereja — ketika kita bersama-sama menghadapi krisis moral ini serta membina semula persekitaran yang selamat, memupuk perkembangan dan benar untuk anak-anak kita.
