Persekutuan Kristian Malaysia menegaskan prinsip pemisahan gereja dan negara sebagai perlindungan bagi kebebasan beragama serta integriti pemerintahan awam. Namun, pemisahan ini tidak menuntut orang beriman untuk berdiam diri dan tidak melepaskan pemimpin rohani daripada tanggungjawab moral mereka.
Setia kepada kesaksian Kitab Suci, kami menegaskan bahawa mereka yang diamanahkan kepimpinan rohani memikul tanggungjawab suci untuk menyuarakan kebenaran, walaupun hal itu mencabar pihak berkuasa.
Para nabi dahulu tidak berdiam diri apabila berdepan ketidakadilan atau kegagalan moral pemerintah; mereka menegur raja, memberikan amaran kepada bangsa-bangsa dan menyeru pemimpin kembali kepada kebenaran.
Daripada teguran Natan terhadap Daud, cabaran Elia kepada Ahab, hingga kecaman Yohanes Pembaptis terhadap Herodes, Kitab Suci secara konsisten menunjukkan bahawa kesetiaan kepada Tuhan memerlukan keberanian berhadapan pihak berkuasa.
Panggilan ini tidak berakar pada cita-cita politik, tetapi pada ketaatan kepada keadilan ilahi. Seperti penjaga yang digambarkan dalam kitab Yehezkiel, kegagalan memberikan amaran terhadap salah laku itu sendiri merupakan kegagalan moral.
Oleh itu, pemimpin gereja bukan sahaja dibenarkan, malah wajib bersuara apabila pemimpin bertindak tidak adil, menindas golongan rentan atau menyimpang daripada perkara yang benar.
Dalam setiap zaman, integriti iman menuntut suara yang tidak tunduk kepada kuasa, tetapi teguh berpegang pada kebenaran. Seperti ditegaskan oleh Dietrich Bonhoeffer — ‘berdiam diri di hadapan kejahatan itu sendiri ialah kejahatan.’ Berdiam diri ketika berdepan salah laku bererti mengabaikan kewajipan suci, manakala bersuara dengan keberanian dan kerendahan hati bererti tetap setia kepada panggilan yang diamanahkan Tuhan.
Untuk tujuan ini, CFM, sebagai suara Gereja, akan terus bersuara tentang hal ehwal negara dan kebebasan beragama, secara sendiri dan melalui kerjasama dengan pihak lain, termasuk wadah Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST).
