Hari Merdeka menandakan kebebasan kita daripada penjajahan dan perjalanan menuju pembentukan negara. Hari Malaysia memperingati saat Malaya, Sabah dan Sarawak bersatu untuk membentuk sebuah negara baharu: Malaysia.
Daripada pembentukan itu lahirlah identiti bersama. Tanpa mengira etnik, agama atau latar belakang sejarah, kita semua rakyat Malaysia — satu rakyat yang terikat sebagai satu negara.
Identiti bersama ini menyeru kita membina masyarakat bersatu demi kebaikan semua rakyat Malaysia. Kita diamanahkan dengan kepelbagaian yang kaya, ikatan sosial yang kukuh serta sumber negara yang melimpah — semuanya untuk kita urus demi kemakmuran, kesejahteraan dan perkembangan setiap insan di negara ini.
Perpaduan tidak bererti keseragaman; sebaliknya, perpaduan dalam kepelbagaian. Kekuatan kita terletak pada keupayaan untuk menghormati, meraikan dan bekerjasama sambil mengekalkan identiti, budaya dan kepercayaan masing-masing. Inilah keistimewaan Malaysia.
Janganlah kita memandang ringan berkat keunikan negara kita. Apa yang dikurniakan dari atas boleh hilang jika kita gagal menghargai dan memeliharanya. Kita mesti sentiasa berwaspada terhadap unsur pemecah belah, pandangan sempit dan ideologi ekstrem yang mahu meretakkan perpaduan serta mengancam masa depan bersama kita.
Ketika kita memperingati satu lagi pencapaian dalam perjalanan sebagai negara merdeka, marilah kita mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangga — panji yang menyatukan kita — di rumah, tempat kerja dan rumah ibadat. Semoga kita terus berganding bahu dengan sesama rakyat Malaysia untuk membina negara yang berasaskan saling menghormati, perpaduan, keadilan dan keamanan.
Persekutuan Kristian Malaysia mengucapkan Hari Merdeka dan Hari Malaysia yang penuh berkat serta bermakna kepada semua rakyat Malaysia.
Selamat Hari Merdeka & Selamat Hari Malaysia!
