Selain sempena meraikan ulangtahun Hari Merdeka yang ke-63, dan ulangtahun Hari Malaysia yang ke-57, yang berasaskan tema, “Malaysia Prihatin”, kita juga menandai ulangtahun ke-50 Rukun Negara(“blueprint” atau kerangka tindakan nasional demi kesatuan nasional) yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.
Sekalipun kita sudah mara lima puluh tahun dibimbing oleh prinsip-prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan Dan Kesusilaan, perlulah kita mengajukan pertanyaan ini kepada diri sendiri: Adakah kita semakin maju khususnya dalam usaha mencapai matlamat-matlamat kita:
–Mencapai dan memupuk perpaduan erat dalam kalangan masyarakat –Memelihara cara hidup yang demokratik
–Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran dapat dinikmati secara adil dan saksama
–Menjamin satu pendekatan liberal terhadap tradisi-tradisi dan kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak
–Membangun satu masyarakat yang maju yang akan menggunakan sains dan teknologi
Dengan penularan Covid-9 ke serata dunia, gereja-gereja telah berseru dalam tangisan untuk belas kasihan dan rahmat Allah Maha Kuasa. Puji syukur kami panjatkan kerana pada hari ini virus yang berbahaya ini terbendung di Malaysia. Malah, “tunas-tunas” mulai bertumbuh dalam ekonomi kita yang pernah mengalami kesusutan dua angka pada bulan Mei. Selain Pakej Ransangan daripada Bantuan Prihatin Nasional yang dihulurkan oleh Kerajaan Persekutuan pada bulan Maret, tindakan tangkas rakyat daripada beraneka ragam hidup, yang segera menyumbang kepada dana ini melalui pelbagai agama dan golongan sekular amat menggalakkan. Akibat perbuatan mereka, baik rakyat Malaysia mahupun orang asing, yang memerlukan makanan, bantuan sewa malahan orang dalam keperluan dukungan emosional telah tertolong. Organisasi kerajaan dan sivil juga segera bertindak untuk menghasilkan alat perlindungan peribadi bagi para petugas barisan hadapan yang gigih mempertaruhkan nyawa demi orang lain. Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang telah memimpin dengan penuh kemampuan dalam pengawalan, pengurangan kesan susulan dan pemulihan semula.
Namun dengan nada sedih, kita akan mengingati tahun 2020 kerana pertukaran kerajaan yang tidak disangka-sangka. Peristiwa ini diekori peletakan jawatan bekas Perdana Menteri apalagi perubahan kesetiaan secara licik oleh wakil-wakil yang tidak menghiraukan amanah yang ditetapkan oleh pengundi yang memilih mereka dalam proses pemilihan demokratik.
Wabak Covid-19 mengingatkan kita betapa mudah kita kena serangan, baik sebagai individu mahupun sebagai negara-negara. Sudah tentu inilah saat kita sehati sejiwa memberi perhatian kepada sesama dalam masyarakat kita. Perintah Kawalan Pergerakan mengingatkan kita semula bahawa betapa banyak orang sedang hidup dalam serba kekurangan semasa mengarungi keadaan sengsara ini. Mereka perlu dijaminkan keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan dan minuman, dan kewangan mereka. Bukankah negara kita sudah dikurniakan sumber yang begitu kaya? Biarlah kita mengagihkannya dengan saksama dan sama rata kepada mereka yang memanggil negara ini tanah airku.
Nescaya sesuatu negara tidak dapat makmur kalau anak-anak buminya terlantar apatah lagi tidak menerima pendidikan yang diperlukan mereka oleh sebab mereka tidak mempunyai peralatan elektronik, yang merupakan keperluan asas kerana sekolah mereka nun jauh. Akibatnya, mereka ketinggalan, dan tidak dapat menjadi sumber tenaga yang diperlukan tatkala akibat krisis yang membinasakan ini surut.
Kita perlu membangun semula kerana kesan memerangi Covid-19 memang tinggi; nyawa-nyawa terkorban, kehilangan punca pendapatan dan kegoncangan perniagaan sudah dialami sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan disusuli kesan susulan, keadaan lamban dan ratusan bilion yang diperuntukan bagi pakej ransangan.
Pada masa yang penting ini, selaku rakyat negara, kita perlu memohon kepada Kerajaan dan mereka yang memegang autoriti supaya memberi tumpuan sungguh- sungguh untuk mencapai matlamat asas-asas Rukun Negara. Tambahan pula, mereka perlu mengasaskan semua keputusan dasar bagi Malaysia pada prinsip- prinsip yang termaktub padanya. Beberapa ahli intelek sudah mencadangkan agar Kerajaan sungguh-sungguh mempertimbangkan untuk menempatkan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan kami.
Marilah kita berdoa bagi kesejahteraan Malaysia, dan bagi Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja, Gabenor-Gabenor, Perdana Menteri dan anggota-anggota Kabinet, para Menteri Besar dan Ketua Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen, Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Undangan Negeri. Semoga mereka dipenuhi dengan hikmat, keberanian, dan kesihatan untuk memimpin Malaysia mengatasi masa yang mencabar ini, serta maju ke masa depan yang bukan hanya akan dapat dinikmati oelh segelintir orang tetapi semua orang.
Mari kita sejiwa sehati memberi sokongan kepada semua arahan Kerajaan untuk membendung Covid-19. Tunjukkanlah dan lakukanlah kebaikan yang luarbiasa kepada orang dalam keperluan, saling berperihatin dan memberkati orang lain. Usahakan satu kesatuan baharu untuk muncul lebih kuat pada masa krisis, Biarlah “Malaysia Prihatin” menjadi sorak kita bersama.
SELAMAT HARI MERDEKA and SELAMAT HARI MALAYSIA kepada semua saudara-saudari Malaysia.
